
Dr Noorashikin Maan
Consultant Obstetrician & Gynaecologist
Fertility Specialist
KPJ Ipoh Specialist Hospital

Sukar mendapat zuriat: Sebab dan Bagaimana Cara Menanganinya.
Infertiliti atau ketidaksuburan ataupun mandul merupakan salah satu daripada masalah yang kerap melanda pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Kemandulan atau ketidaksuburan berlaku hampir 10-15% di kalangan pasangan yang mendirikan rumah tangga iaitu satu kes bagi setiap 7 pasangan yang berkahwin. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Perancang Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2004, kadar kesuburan total di Malaysia didapati menurun daripada 3.4 pada tahun 1994 kepada 2.8 pada tahun 2004. (Kadar kesuburan total didefinasikan sebagai purata kelahiran bayi sesorang wanita sewaktu mereka masih subur). Terdapat banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku antaranya adalah berkahwin lewat dan dengan itu menjadikan mereka lambat untuk mencuba mendapatkan zuriat. Dianggarkan seramai hampir 300,000 pasangan diantara umur 20 hingga 40 tahun mengalami masalah ketidaksuburan ini.
Walaubagaimanapun, sejak kelahiran bayi tabung uji yang pertama pada tahun 1978, kefahaman yang mendalam berkaitan sistem pembiakan manusia telah membawa banyak kemajuan dalam bidang reproduktif perubatan (assisted reproductive technique) yang telah berjaya membantu ramai pasangan bagi mendapatkan anak.
Walaubagaimanapun, anak adalah anugerah daripada Allah sebagai amanah buat kita. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui siapa diantara hambaNya yang akan dianugerahkan zuriat yang akan menjadi suatu amanah yang harus dijaga dengan baik, dan juga boleh menjadi ujian bagi sesetengah ibu bapa. Walaupun bidang perubatan mengalami kemajuan yang amat pesat pada abad ini, namun 17 % daripada masalah kemandulan masih belum dikenal pasti puncanya kerana terdapat faktor-faktor yang tidak dapat dikesan oleh kaedah moden. Ini mungkin disebabkan kita belum mempunyai cukup teknologi dan ilmu untuk mengesan punca-puncanya. Dijangkakan peratusan itu akan menurun dari semasa ke semasa apabila teknik pengesanan dan teknologi perubatan kita bertambah baik.
Justeru itu, disamping berikhtiar mencari rawatan yang sesuai seperti berjumpa dengan pakar sakit puan (specialist in obstetrics and gynaecology) mahupun pakar sakit tuan (specialist in andrology) dan dengan melakukan pemeriksaan perubatan, ujian-ujian untuk kes ketidaksuburan serta mendapatkan nasihat perubatan di klinik-klinik pakar infertility, pasangan yang mengalami masalah ini harus memperbanyakkan doa kepada Allah agar dikurniakan cahaya mata. Sesungguhnya kita kena yakin dan percaya bahawa Allah itu Maha Mendengar. Mohonlah padaNya di sepertiga malam dengan bangun bertahajjud dan berdoa dengan bersungguh-sungguh.
Salah satu perkara yang agak ketara di kalangan wanita yang mengalami masalah infertilliti adalah mereka mempunyai masalah berat badan yang berlebihan.Secara umumnya, wanita-wanita yang mengandung atau ingin mengandung dinasihatkan mengekalkan berat badan yang ideal dan mengambil makanan dengan gizi yang seimbang. Pengambilan vitamin Folic Acid sangat-sangat digalakkan bagi wanita yang ingin mengandung ataupun sudah mengandung pada peringkat awal.
Definisi Kemandulan
Kemandulan bermaksud kegagalan isteri untuk hamil apabila melalui gerbang perkahwinan selepas tempoh setahun (untuk kemandulan primer) atau dua tahun (untuk kemandulan sekunder), dengan melakukan hubungan kelamin dengan kekerapan yang sewajarnya tanpa menggunakan sebarang ubat dan alat pencegah kehamilan.
Jenis-jenis Kemandulan
Kemandulan dikategorikan kepada:
1. Kemandulan primer (Primary infertility)
Kehamilan tidak pernah berlaku sejak berkahwin.
2. Kemandulan sekunder (Secondary Infertility)
Pernah hamil sebelum ini sekurang-kurangnya sekali, kemudian gagal untuk hamil bagi mendapatkan anak yang seterusnya.
Bilakah Seseorang Perlu Mendapatkan Nasihat Perubatan?
Secara statistiknya, 20-25% kehamilan berlaku selepas sebulan usia perkahwinan, 50% selepas 3 bulan, 75% selepas 6 bulan, dan lebih daripada 85% isteri akan hamil selepas setahun tempoh perkahwinan. Jadi, usaha untuk mendapat rawatan pakar perubatan perlu dilakukan selepas setahun perkahwinan untuk kemandulan primer dan dua tahun perkahwinan untuk kemandulan sekunder.
Sayugia perlu diingatkan, faktor umur sangat penting untuk hamil bagi seorang isteri. Kehamilan merosot sebanyak 50% apabila isteri mencecah umur 35 tahun dan ke atas dan peratusannya menjadi tersangat rendah dan menurun dengan mendadaknya selepas berumur 37 tahun. Jadi, untuk golongan ini mereka perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan segera iaitu 6 bulan selepas berkahwin tanpa kehamilan. Peluang untuk sembuh akan menjadi lebih sukar jika tempoh infertiliti dibiarkan bertahun-tahun ataupun jika usia pasangan wanita melebihi 35 tahun. Kegagalan sebilangan besar wanita untuk hamil adalah berikutan kahwin lewat. Sesetengah pakar kesuburan mengatakan “Science cannot beat the biological clock”
Statistik kebiasaan tempoh perkahwinan sebelum hamil:-
Bagi wanita yang mempunyai masalah haid yang tidak teratur sebelum perkahwinan lagi atau mungkin pernah mengalami jangkitan kuman pada bahagian pelvis, kebarangkalian menghadapi masalah infertiliti selepas berkahwin adalah lebih tinggi. Wanita-wanita ini perlu mendapatkan nasihat dan rawatan lebih awal.
Sebab-sebab Kemandulan
Kehamilan memerlukan satu proses yang kompleks iaitu dari proses penghasilan telur (ovulasi) yang dipanggil ovum oleh ovary, proses pengambilan ovum tersebut oleh tiub fallopio, proses persenyawaan ovum tersebut oleh sperma (benih dari suami) di tiub fallopio, dan kemudiannya pengangkutan ovum yang disenyawakan itu ke rahim untuk ditempelkan/diimplantasikan pada dinding rahim.
Kehamilan juga memerlukan bilangan sperma yang mencukupi dan kualitinya baik. Ia perlu berada pada dinding pangkal rahim (cervix), dan mampu bergerak merentasi pangkal rahim, rahim dan seterusnya sampai ke saluran fallopio (fallopian tube) untuk mensenyawakan ovum yang berada di saluran fallopio (fallopian tube) pada waktu kesuburan wanita (waktu ovum dihasilkan dan berada di saluran fallopio iaitu kebiasaannya pada hari ke-14 kitaran haid bagi mereka yang mempunyai kitaran haid selama 28 hari). Ovum hanya mampu bertahan selama 24 jam manakala sperma mampu bertahan sehingga 3 hari di dalam organ pembiakan wanita.
Seterusnya, kehamilan juga memerlukan paras hormon yang normal di dalam tubuh wanita untuk merangsang ovari menghasilkan benih(proses ovulasi), kilang penghasilan benih yang normal (ovary), saluran tiub fallopio yang normal tanpa sebarang penyempitan atau sekatan yang menghalang pergerakan ovum dan sperma, dinding rahim yang normal bagi membolehkan ovum yang disenyawakan ditempelkan supaya janin dapat membesar di dalamnya. Suami juga harus mampu untuk menghasilkan sperma yang normal dan seterusnya mampu memancutkan benih tersebut ke tempat yang sepatutnya. Kekerapan hubungan kelamin yang sewajarnya terutamanya pada waktu subur juga memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kebarangkalian kehamilan berlaku.
Dianggarkan satu pertiga daripada kemandulan berpunca daripada wanita, sepertiga lagi berpunca daripada lelaki dan 1/3 berpunca daripada kedua-dua pasangan. Jadi, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan pada kedua-dua pasangan suami isteri.
Sebab-sebab kemandulan boleh dikategorikan kepada empat sebab:
-
Sebab-sebab kemandulan yang berpunca daripada isteri (40- 60%)
-
Sebab-sebab kemandulan yang berpunca daripada suami (30-40%)
-
Gangguan pada hubungan kelamin (disturbance of sexual relations)
-
Kemandulan yang tidak diketahui puncanya (unexplained infertility)
Rawatan Kemandulan Secara Ringkas
1. Rawatan Secara Umum
Sentiasa berdoa kepada Allah dan solat hajat agar dikurniakan isteri dan zuriat yang soleh dan solehah sebagai penyejuk mata memandang sambil mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk menjaga kebersihan diri. Mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit dan menjauhkan diri daripada terdedah kepada toksin-toksin sama ada di dalam makanan, minuman dan juga alam sekitar agar dapat memperbaiki kesuburan.
Mengamalkan senaman secara tetap dan menjauhkan diri daripada merokok dan meminum minuman keras juga merupakan amalan yang sangat dituntut bagi meningkatkan kesuburan diri.
Sentiasa berfikiran positif, jangan tertekan, stres atau tensen. Sentiasa mempelajari teknik-teknik untuk mengatasi stres.
Memakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas bagi membolehkan peluh diserap dengan baik
Tidak bertukar-tukar pasangan seksual.
Tidak menggunakan pakaian yang ketat terutamanya pakaian dalam yang diperbuat bukan dari kain kapas
2. Kaedah-kaedah bantuan reproduktif yang terdapat di Malaysia
Permanian beradas ( Intrauterine insemination).
Kaedah pengambilan air mani dan diletakkan ke dalam ovari (rahim) isteri. Kaedah ini memerlukan saluran falopian yang normal dan suami yang bilangan spermanya kurang tetapi sihat boleh menjalani rawatan ini. Melalui kaedah ini 10 hingga 15 peratus berjaya mendapat zuriat.Melalui kaedah ini 10 hingga 15 peratus berjaya mendapat zuriat.
Invitro-Fertilization (IVF)
Kaedah persenyawaan yang dilakukan di luar rahim kemudian di masukkan ke dalam Rahim atau lebih dikenali sebagai kaedah bayi tabung uji.
Kaedah bayi tabung uji adalah di mana telur disenyawakan dalam tabung uji. Apabila telah menjadi embrio, ia diletakkan semula ke dalam rahim. Kaedah ini kadang-kadang kurang berjaya jika air mani tidak dapat menembusi telur seterusnya gagal menghasilkan zuriat
ICSI ( Intracytoplasmic Sperm Injection).
Suntikan sperma terus ke dalam telur sebagai memastikan pesenyawaan berlaku dan kemudian setelah menjadi embrio dimasukkan ke dalam Rahim semula. Kejayaan kaedah ini banyak bergantung kepada usia pasangan, berapa lama tidak mendapat zuriat dan juga masalah pasangan.
Tidak semua pasangan sesuai menjalani kaedah rawatan bantuan reproduktif. Mereka perlu menjalani ujian serta pemeriksaan rapi oleh pakar perubatan reproduktif sebelum dibenarkan menjalani rawatan yang sangat kompleks. Biasanya rawatan akan memakan masa yang lama dan memerlukan kos yang agak tinggi. Oleh itu pasangan hendaklah banyak bersabar.

