top of page

Merancang Kehamilan

 

Salah satu matlamat utama sebuah perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat sebagai pewaris generasi akan datang. Anak yang bakal dilahirkan juga diharap akan dapat mendoakan kita sebagai ibu bapa pada masa akan datang sekiranya salah seorang dari kita atau kedua-duanya telah kembali menemui Tuhan. Anaklah anugerah terhebat dan paling bernilai didalam sesebuah rumahtangga yang dibina. Justeru itu, setiap pasangan yang sudah berkahwin perlu membuat perancangan yang betul sebelum kehamilan terjadi.
 

Berbincanglah diantara suami dan isteri tentang anak-anak yang bakal dilahirkan. Apa yang diinginkan daripada anak tersebut, bagaimana halatujunya dan pendekatan pendidikannya.

 

Perkara pertama yang perlu diperhatikan oleh setiap pasangan yang ingin merancang kehamilan adalah kitaran haid isteri. Ketahui bilakah waktu subur isteri anda. Seseorang wanita hanya akan hamil sekiranya hubungan seks di lakukan pada waktu subur setiap bulan. Waktu subur ini mungkin cuma berlangsung selama satu minggu sahaja dalam sebulan dan jika hubungan seks dilakukan di luar waktu subur, maka peluang untuk hamil agak nipis. Kadar keboleh-hamilan atau dikenali sebagai 'fecundity rate' seseorang wanita dalam sebulan hanyalah sebanyak 15-20% sahaja.

 

Amalkan cara hidup sihat dengan melakukan senaman yang berkala dan mengambil pemakanan yang seimbang. Ini penting untuk memastikan seseorang itu baik lelaki mahupun wanita mempunyai berat badan yang seimbang dan ideal. Berat yang berlebihan (overweight) ataupun obes menyukarkan seseorang wanita untuk hamil. Secara amnya wanita yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapat gangguan haid yang tidak tetap dan seterusnya menghadapi kesukaran untuk hamil. Saya perhatikan ramai wanita selepas berkahwin mempunyai masalah berat badan yang meningkat secara mendadak. Di sini faktor pemakanan perlu diperhatikan. Maklumlah apabila sudah mempunyai teman semasa menghadap makanan,  selera untuk makan mungkin bertambah.... ))-

 

Ambil vitamin yang akan membantu proses kehamilan terutamanya Folic Acid. Kajian saintifik membuktikan pengambilan asid folik dapat mengurangkan kecacatan pada sistem saraf bayi dalam kandungan.

 

Mengurangkan pengambilan kefein dalam minuman harian juga boleh membantu meningkatkan kesuburan seseorang. Bagi para suami yang merokok, anda dinasihatkan supaya mengurangkan atau berhenti terus daripada merokok.

 

Selain daripada tpi-tip diatas, ada beberapa perkara yang juga perlu diambilkira seperti sejarah imunisasi seorang isteri. Selalunya ia tidak menjadi masalah besar kerana kebanyakkan daripada wanita sudah pun menerima imunisasi seperti Rubella dan Hepatitis B sejak zaman remaja lagi.

 

 



 

 



 

 

 

 

© 2014 DrNoorashikinM. Proudly created with Wix.com

  • w-facebook
  • Twitter Clean
bottom of page